RSS
Cinta yang disemadikan tak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pastikan sembuh selagi IMAN terselit di dada. .:Ryu Watanabe:.

Hari Anugerah Cemerlang SAINA 2008


Hari Anugerah Cemerlang 2008 akan berlangsung pada 23 dan 25 Jun 2008 bertempat di Dewan Sri Angsana Sekolah Menengah Sains Pokok Sena. Seperti pada tahun sebelum ini, hadiah kepada pelajar dan juga guru yang mencapai kajayaan dalam akademik akan disampaikan oleh Tunku Putri Intan Syafinaz.Antara pelajar yang akan menerima hadiah ialah pelajar tingkatan 1,2 dan 4 bagi tahun 2007 yang mendapat pencapaian akademik yang cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun (PAT), hadiah kepada para pelajar yang memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan hadiah kepada pelajar yang mendapat semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kem Penulis Muda Kebangsaan 2008


Pada 30 Mac hingga 4 April 2008, seorang pelajar SAINA, Anas bin Azmi terpilih mewakili negeri Kedah ke Kem Penulis Muda Kebangsaan 2008 bertempat di Hotel Putra KL, Kuala Lumpur. Antara aktiviti yang dijalankan ialah lawatan ke Eye On Malaysia, Putrajaya, Perpustakaan Negara Malaysia, serta Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Selain itu, turut diadakan Bengkel Penulisan Berita dan Teknik Mengambil Foto yang dibimbing oleh En. Mohd Fuad Razali, editor Majalah Pendidik dan En Mohd Yusuf Abu Bakar, Pegawai Unit Khas Berita Harian. Para peserta juga sempat berkongsi pengalaman bersana saudara Azali Azlan, pelajar terbaik SPM 2007, angkasawan pertama negara, Dr. Syeikh Muszaphar Syukor serta Faizal Tehrani, seorang penulis novel.

Anugerah Tokoh NILAM Negeri Kedah 2008



Pada 4 hingga 6 Mac 2008, SAINA telah menghantar seorang wakil, saudara Anas bin Azmi mewakili daerah Kota Star bagi pemilihan Anugerah Tokoh Nilam Negeri Kedah Tahun 2008 Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar yang telah diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah.
Pada malam hari pertama, para pelajar dikehendaki menduduki ujian bertulis. Dalam Ujian ini, para pelajar diberi pilihan bagi menyelesaikan salah satu masalah yang diberikan dalam masa 1 jam serta tidak melebihi 150 patah perkataan.
Pada hari kedua, diadakan pula proses penapisan bagi melayakkan peserta ke peringkat seterusnya. Bagi ujian lisan pula, para pelajar diuji dari pelbagai aspek, termasuk segala pengetahuan mengenai sistem pengurusan pusat sumber, politik dunia dan tempatan serta isu semasa. Pada petang hari kedua, para pelajar telah dibawa melawat ke Muzium Padi. Pada malam hari kedua, diadakan pula bengkel Kemahiran Membaca yang telah diberikan oleh Puan Rosnah binti Saad, Timbalan Pengarah BTPN Kedah.
Hari ketiga merupakan kemuncak kepada program ini. Pada waktu pagi, para pelajar dibenarkan melayari internet di Pusat Akses bagi melakukan pendaftaran Rakan NILAM. Majlis Penutup bermula jam 2.30 petang dan disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah bin Saad, Ketua Sektor Akedemik Jabatan Pelajaran Negeri Kedah. Nasib kurang menyebelahi wakil SAINA apabila hanya dinobatkan sebagai pemenang Tempat Ketiga Anugerah Tokoh NILAM Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar Peringkat Negeri Kedah 2008. Beliau telah memenangi sijil, koleksi novel dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta wang tunai bernilai RM 200.