AKADEMI Sastera Peringkat Saringan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, pada 19 Ogos ini, akan menyaksikan persaingan 15 peserta daripada lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk merebut lima tempat ke peringkat akhir pertandingan berkenaan.
Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), masing-masing menghantar tiga wakil untuk merebut tempat pertama yang menawarkan hadiah RM1,000.
Tempat kedua pertandingan yang membincangkan karya terbitan DBP dengan menggunakan sebarang teori dan pendekatan sastera itu, pula bakal memperoleh RM700 dan tempat ketiga (RM500), manakala sagu hati masing-masing menerima RM300.
Pada 17 hingga 19 Julai lalu, peserta mengikuti bengkel bimbingan yang dikendalikan Dr Tengku Intan Marlina Tengku Ali sebagai mentor UM; Che Abdullah Che Ya (mentor UKM); Naffi Mat (mentor UPM); A Halim Ali (mentor UPSI) dan Azman Ismail (mentor Aswara).
Akademi Sastera Peringkat Akhir yang akan diadakan di DBP pada 8 Oktober ini, bertujuan menanamkan semangat mencintai dan menghargai khazanah bangsa ini, sekali gus memberikan pendedahan awal kepada peserta mengenai penyediaan kertas kritikan dan pembentangan dalam seminar seperti yang dilakukan sarjana.
0 comments:
Catat Ulasan