RSS
Cinta yang disemadikan tak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pastikan sembuh selagi IMAN terselit di dada. .:Ryu Watanabe:.

Umat perlu didedah sistem takwim tetapkan anak bulan


Pemahaman kaedah saintifik kelendar hijriah elak kekeliruan

HARI ini bersamaan 29 Syaaban 1430 Hijrah, pihak berkuasa di kebanyakan negara Islam sibuk membuat persiapan bagi menentukan tarikh 1 Ramadan, bermula waktu melaksanakan ibadat puasa yang menjadi Rukun Islam ketiga.

Balai Cerap Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) ialah satu daripada empat tempat di Terengganu yang menjadi tumpuan melihat anak bulan (hilal) bagi menentukan 1 Ramadan.

Tiga tempat lain ialah Bukit Kemuning di Kemaman, Bukit Besar di Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian untuk daerah Besut. Rukyah hilal Ramadan dibuat pada petang ini di 28 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan Ramadan dan Syawal di seluruh negara.

Pegawai Sains Unit Falak UDM, Syahril Hirman Azmee, berkata ahli jawatankuasa melihat anak bulan Ramadan bagi Balai Cerap Kusza berkumpul jam 5.30 petang ini untuk memulakan tugas yang dijangka selesai menjelang Maghrib.

Katanya, berdasarkan data ijtimak awal untuk Ramadan, pemisahan bulan lama dan baru bermula jam 6.02 minit petang 29 Syaaban dengan bulan dijangka terbenam jam 7.15 petang dan matahari pada 7.19 petang.

"Dapat dijangkakan hilal (anak bulan) tidak kelihatan dan Syaaban digenapkan kepada 30 hari dan awal Ramadan bermula lusa (esok). Umur bulan pula boleh dikira daripada masa pemisah hingga matahari terbenam," katanya, semalam.

Beliau yang sudah terbabit dalam jawatankuasa melihat anak bulan sejak 2004 berkata, pemisahan bulan lama dan baru ketika matahari terbenam petang ini membolehkan umur hilal diketahui iaitu 1.22 jam.

Syahril Hirman berkata, dalam konteks menentukan tarikh 1 Ramadan, Malaysia menggunakan ketetapan rukyah dan hisab iaitu kaedah yang berkait rapat melalui proses melihat bulan dan perkiraan yang dijadikan fatwa.

Katanya, rukyah dan hisab bukan dua kaedah berbeza seperti difahami masyarakat sebaliknya ia adalah proses diguna pakai menentukan tarikh awal puasa dengan memenuhi syarat tertentu seperti faktor anak bulan kelihatan sebelum justifikasi dibuat.

"Ada beranggapan tidak perlu melihat hilal kerana takwim sudah menetapkan bila awal Ramadan seperti tahun ini jatuh pada 22 Ogos iaitu Sabtu. Hakikatnya, rukyah tetap dilaksanakan untuk melihat sendiri atau bagi memenuhi syarat sebelum pengumuman rasmi dibuat," katanya.

Menurut rencana Rukyah Menurut Astronomi Takwim di laman web Unit Falak UDM, www.falak.udm.edu.my, tidak dinafikan ada berpendapat cara penentuan awal puasa dan hari raya di Malaysia sudah ketinggalan zaman.

Mengikut sejarah, amalan penentuan awal bulan di Malaysia, khususnya Ramadan dan Syawal sering berubah dari segi kaedah tetapi sejak 1982, dasar rukyah dan hisab digunakan. Sebenarnya amalan merukyah turut mengalami perubahan, sesuai perkembangan teknologi dalam bidang astronomi.

Kini, semua tempat melihat anak bulan di Malaysia dilengkapi peralatan teodolit dan ahli rukyah dibekalkan data yang mengandungi jadual pergerakan bulan serta matahari pada hari rukyah.

Kemudahan itu dianggap memadai untuk merukyah anak bulan. Kedudukan anak bulan ditentukan setiap minit dan ahli rukyah bukan saja dipertanggungjawabkan melihat anak bulan tetapi juga meneliti bentuk bulan jika kelihatan.

Amalan rukyah di Malaysia juga tidak semata-mata melihat anak bulan secara fizikal atau dengan bantuan teropong, tetapi juga meliputi kepada melihat jisim anak bulan. Ahli astronomi dapat menghisab kedudukan anak bulan dan waktu berlaku ijtimak dengan tepat, tetapi belum dapat menentukan bilakah anak bulan boleh kelihatan.

Anak bulan tidak boleh terus kelihatan selepas berlaku ijtimak, tetapi memerlukan masa untuk membolehkan cahaya anak bulan itu dikesan mata manusia. Ini cabaran terbesar ahli astronomi Islam iaitu untuk mengemukakan tempoh di antara waktu ijtimak kepada waktu ia kelihatan buat kali pertama.

Ia tidak perlu mengambil kira faktor cuaca tempatan, tetapi sekadar membuat hubungan relatif kemampuan cahaya bulan mempamerkan cahayanya dalam keadaan biasa. Jika masalah itu dapat diselesaikan dan satu keputusan dibuat di kalangan ahli astronomi, ahli takwim boleh menggunakan tempoh itu sebagai asas takwim.

Masa depan penggunaan takwim berdasarkan anak bulan bergantung sepenuhnya kepada persefahaman negara Islam dan penerimaan mereka mengenai kaedah saintifik takwim hijriah.

Polemik dan kekeliruan masyarakat terhadap penetapan sesuatu tarikh boleh diatasi dengan mendidik mereka mengenai sistem takwim Islam, amalan merukyah dan ilmu falak itu sendiri.


Sumber: www.bharian.com.my

0 comments: